Kelemahan Hadis "Awwaluhu Rahmah" |
PENDAHULUAN
Musim Ramaḍān penuh keberkahan kembali lagi menjadi tetamu kita pada tahun ini, dengan kesudiannya hadir bertandang membawa bersamanya aneka kebaikan yang melimpah ruah; masih terdapat kelompok dalam kalangan kita yang menolak kebaikan dengan lisan mereka sendiri apabila menyebarkan ḥadīth yang tidak ṣaḥīḥ & thābit daripada Rasulullah; bahkan lebih teruk lagi, ada yang membela riwayat lemah ini!
Membela perkara yang lemah adalah suatu kelemahan,
Semisal labah-labah yang membuat rumah; dan rumah yang paling lemah keutuhannya ialah rumah (sarang) labah-labah.
Hadis yang berkenaan adalah seperti berikut:
أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنْ النَّارِ
“(Ramaḍān itu), awalnya merupakan raḥmah (kasih sayang), pertegahannya merupakan maghfirah (keampunan), pengakhirannya merupakan pembebasan daripada api neraka.”
TAKHRIJ HADIS
Hadis ini amat masyhur melalui periwayatan ibn Khuzaymah (m. 311H) di dalam al-Ṣaḥīḥ beliau, menerusi sanad beliau:
“Telah memberitahu kepada kami ‘Alī b. Ḥujr al-Sa’dī, telah memberitahu kepada kami Yūsuf b. Ziyād, telah memberitahu kepada kami Hammām b. Yaḥyå, telah memberitahu kepada kami ‘Alī b. Zayd b. Jud’ān, daripada Sa’īd b. al-Musayyib, daripada Salmān al-Fārisī [dengan ḥadīth demikian].”
[ibn Khuzaymah: Muḥammad b. Isḥāq, Abū Bakr; Mukhtaṣar al-Mukhaṣar (Ṣaḥīḥ ibn Khuzaymah); al-A’zamī (ed); Makkah: jil. 3, hal. 191]
Selain itu, hadis ini juga diriwayatkan dengan sanad yang sama oleh beberapa ahli hadis, kami sebutkan secara ringkas disini seperti berikut:
1. Ibn Abī al-Dunyā di dalam Faḍā’il Shahr Ramaḍān [hal. 41],
2. Ibn Shāhin di dalam Faḍā’il Ramaḍān [hal. 15],
3. ′Abd al-Ṣamad b. ‘Asākir di dalam Aḥādīth Shahr Ramaḍān [no. 7],
4. Al-Bayḥaqī di dalam Shu’ab al-Īmān [no. 3336] & Faḍā’il al-Awqāt, [hal. 37]
5. Al-Maḥāmilī di dalam al-Amālī, [hal. 293]
6. Abū Nu’aym di dalam al-Targhīb wa al-Tarhīb, [
7. Al-Waḥīdī di dalam al-Tafsīr al-Wasīṭ [hal. 1753],
8. Al-Baghawī di dalam Ma’ālim al-Tanzīl [jil. 1/hal. 202],
9. Abū Ṭāhir b. Abū al-Ṣaqr di dalam al-Mashyakhah [no. 43].
KELEMAHAN PADA SANAD
Di dalam sanad ini terdapat beberapa kelemahan, seperti berikut:
1.‘Alī b. Zayd b. Jud’ān, dihukum ḍa’īf (lemah) oleh Aḥmad b. Ḥanbal, Yaḥyā b. Ma’īn (melalui riwayat Abū ‘Abbās al-Dūrī) & al-Dāraquṭnī.
2.Yūsuf b. Ziyād, dinilai sebagai “munkar al-ḥadīth” oleh Muḥammad b. Ismā’īl al-Bukhārī, dinukilkan oleh al-Dhahabī.
Oleh kerana kelemahan ini, ibn Khuzaymah menyatakan perkataan beliau yang masyhur yang sering disalahfahami iaitu:
إن صحّ الخبر
“Seandainya khabar (hadis) ini ṣaḥīḥ.”
JALUR LAIN
Hadis ini juga mempunyai jalur yang lain seperti yang diriwayatkan oleh al-‘Uqaylī di dalam al-Kāmil fi al-Ḍu’afā’, dll ahli ḥadīth dengan sanad berikut:
“Telah memberitahu kepada kami ‘Alī b. al-Ḥusayn, telah memberitahu kepada kami Aḥmad b. ‘Imrān al-Akhfash, telah memberitahu kepada kami ‘Abd Allāh b. Bakr al-Sahmī, telah memberitahu kepada kami Iyās b. Abī Iyās, daripada Sa’īd b. al-Musayyib, daripada Salmān, [dengan ḥadīth sedemikian].”
Jalur serta hadis ini telah dihukum munkar oleh Abū Ḥātim al-Rāzī di dalam al-‘Ilal, beliau menyatakan ‘Abd Allāh b. Bakr al-Sahmī telah tersilap menyatakan nama “Iyās b. Abī Iyās”, yang tepat ialah Abān. Seterusnya, mengithbatkan kewujudan ‘Alī b. Zayd b. Jud’ān juga di dalam jalur hadis ini.
Hadis ini melalui jalur ini dihukum munkar oleh ḥuffāẓ mutaqaddimīn, iaitu Abū Ḥātim al-Rāzī, ibn Khuzaymah al-Shāfi’ī; bahkan dalam kalangan mutaakhkhirīn semisal ibn Ḥajar al-‘Asqalānį seperti yang beliau naṣkan di dalam al-Ithaf al-Mahārah.
BANTAHAN ARGUMEN POSTER BERIKUT
Shubhat Pertama: Hadith Ini Mempunyai Shāhid (Sokongan)
Mereka cuba menyatakan bahawa hadis ini mempunyai shāhid menerusi hadis Qatādah (seperti yang didakwa) & menerusi hadis Abu Hurayrah yang diriwayatkan dalam sumber yang mereka bawakan. Mereka mendakwa (di dalam poster ini):
“Salah satu sanad di dalam al-Amālī al-Khamīsiyyah tidak melaluinya (melalui jalur ini) tetapi melalui Qatādah b. Da’āmah.”
Kata mereka lagi
“Hadith ini juga mempunyai shāhid dari jalur Abū Hurayrah yang meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda [sedemikian].”
Kami di #HadithProject membalas:
Pertama, kami tidak temui jalur periwayatan daripada Qatādah b. Di’āmah al-Sadūsi (m. 118H) di dalam al-Amālī al-Khamīsiyyah seperti yang didakwa; atau nama lainnya Amālī ibn al-Shajīr, oleh Hibat Allāh b. ‘Alī al-Ḥasanī (m. 542H).
Yang kami temukan ialah jalur periwayatan ibn al-Shajīr ialah daripada Abū Hurayrah, menerusi sanad daripada “..Abū Ṭāhir ‘Abd al-Karīm b. ‘Abd al-Waḥīd b. Muḥammad al-Ḥasnābādhī, berkata: Telah mengkhabarkan kepada kami Abū Bakr Muḥammad b. Ibrāhīm b. ‘Alī b. ‘Āṣim b. al-Muqri’, melalui periwayatan Abū Nu’aym al-Ḥāfiz (al-Iṣbihānī), beliau berkata: Telah memberitahu kepada kami ‘Abd Allāh b. Muḥammad b. Muslim, telah memberitahu kepada kami Hishām b. ‘Umārah, telah memberitahu kepada kami Sallām b. Sawwār, telah memberitahu kepada kami Maslamah b. al-Ṣalt, daripada al-Zuhrī, daripada Abū Hurayrah, daripada Nabī [dengan hadis demikian].”
Jalur ini hakikatnya ialah shāhid daripada Abū Hurayrah. Jalur sedemikian rupa juga diriwayatkan oleh ibn Abī al-Dunyā (m. 281H) di dalam karya beliau, Faḍā’il Shahr Ramadān, menerusi jalur beliau yang lebih ‘alī (tinggi) seperti berikut:
“Telah memberitahu kepada kami al-Ḥusayn b. ‘Alī, telah memberitahu kepada kami Hishām bin ‘Ammār (dalam sanad atas; ‘Umārah), telah memberitahu kepada kami Sallām b. Sawwār, telah memberitahu kepada kami Maslamah b. al-Ṣalt, daripada al-Zuhrī, daripada Abū Hurayrah, daripada Nabī [dengan hadis sedemikian].”
[ibn Abī al-Dunyā; ‘Abd Allāh b. Muḥammad: Abū Bakr al-Baghdādī: Faḍā’il Shahr Ramadān (t.t); ‘Abd Allāh b. Ḥamad al-Manṣūr (ed); Riyadh: Dar al-Salaf li al-Nashr wa al-Tawzī’: hal. 65].
Madar (perawi utama) bagi hadith ini ialah Hishām b. ‘Ammār, yang mengambil ḥadith ini daripada Sallām b. Sawwār, daripada Maslamah b. al-Ṣalt, daripada al-Zuhrī, daripada Abū Hurayrah, secara marfū’.
Terdapat beberapa kelemahan di dalam sanad ini, iaitu:
1. Sallām b. Sawwār, dihukum “laysa bi al-qawīyy” oleh Abū Ḥātim al-Rāzī, & dihukum “munkar al-ḥadīth” oleh ibn ‘Adī, sepertimana yang dinyatakan oleh al-Mizzī di dalam Tahdhīb al-Kamāl.
2. Maslamah b. al-Ṣalt, dihukum sebagai “matrūk al-ḥadīth” oleh Abū Ḥātim al-Rāzī, sepertimana yang dinyatakan oleh anak beliau, ibn Abī Ḥātim di dalam al-Jarḥ wa al-Ta’dīl.
Maka, hadis ini berstatus lemah dan tidak berupaya menjadi shāhid bagi hadis Salmān al-Fārisī yang sudah sedia lemah secara jelas, terang lagi bersuluh. Dua perkara yang lemah, tidak boleh saling menguatkan!
Dakwaan hadis ini mempunyai shāhid adalah tertolak.
Shubhat Kedua: ibn Khuzaymah mengisharatkan kesahihannya!
Mereka berkata:
“ibn Khuzaymah mengatakan ḥadīth ini dengan qayd (?) إن صحّ الخبر di dalam al-Ṣaḥīḥ beliau.”
Kami #HadithProject membalas:
Dakwaan ini hanya keluar daripada lisan golongan yang tidak mengerti bahasa Arab yang fasih, lagi tidak memahami murād (erti) kata-kata para imam ahli hadis serta metodologi mereka di dalam penulisan & perekodan hadīth, terutamanya manhaj ibn Khuzaymah di dalam al-Ṣaḥīḥ beliau, yang berjudul Mukhtaṣar al-Mukhtaṣar ini.
Sememangnya, Im. ibn Khuzaymah menyatakan secara ringkas berkenaan hadis ini dengan perkataan beliau — in ṣaḥḥa al-khabar — yang bererti: “Andainya ṣaḥīḥ khabar ini.”
Namun beberapa perkara yang perlu diperhatikan:
Pertama: Apakah ‘ibārat (ungkapan) seringkas ini boleh dijadikan hujah dalam pensahihan sesebuah hadis? Tanpa melihat kepada perincian setiap perawi hadis dalam sanad yang telah dijelaskan di dalam kitab-kitab al-Jarḥ wa al-Ta’dīl? Sepertimana yang telah kami jelaskan kelemahan beberapa perawi di dalamnya.
Kedua: Ungkapan ini memberi faedah andaian & ketidakpastian. Yang zahirnya, ialah beliau menafikan keṣaḥīḥan hadis ini kerana beliau menyatakan ketidakpastian & andaian. Sesuatu hadis tidak boleh disahihkan secara andaian atau agakan di sisi manhaj ahli hadīth mutaqaddimin yang tulen.
Adakah mereka ingin berhujah dengan “qayd” yang memberi ifadah andaian atau ketidakpastian? Kami nasihatkan kepada pembuat poster agar terus mempelajari bahasa Arab & mustalah hadis, dimulakan daripada peringkat asas terlebih dahulu.
Shubhat Ketiga: “Ḥadith ini Ḍa’if, bukan Palsu”
Mereka berkata:
“Statusnya berkemungkinan adalah di antara ḍa’īf, sangat ḍa’īf, atau ḥasan li ghayrih, Wallāhu a’lam.”
“Mengatakan ḥadīth ini sebagai ḥadīth palsu adalah dakwaan yang sangat salah. Wallāhu a’lam.”
Kami di #HadithProject membalas:
Pertama: “Mungkin”?
Kita tidak menerima ketidakpastian dalam menghukum sesebuah hadis. Tujuan ilmu hadis ialah untuk mengetahui sama ada sesuatu hadis itu maqbūl (boleh diterima) atau tidak, iaitu mardūd (tertolak). Kita tidak akan menerima sesuatu kecuali yang benar-benar jelas kebenarannya di dalam sesebuah urusan agama, perkara ini merupakan suatu ma’lūm min ad-dīn bi al-ḍarūrah (suatu urusan agama yang amat dimaklumi secara pasti).
Kedua: Ḍa’īf atau Ḥasan?
Kedua-dua istilah, ḍa’īf & ḍa’īf jiddan adalah terminologi yang amat kontradik dengan istilah ḥasan; dari segi takrif & hakikat, di sisi ‘ulama muṣṭalah dalam kalangan muḥaqqiqīn mutaakhkhirīn. Secara umum, ‘ulama membahagikan ḥadīth kepada tiga kategori, iaitu ṣaḥīḥ, ḍa’īf & ḥasan. Pembahagian ini cukup untuk membuktikan bahawa ḍa’īf ialah ciri yang ketara perbezaannya daripada ḥasan, kerana terdapat pemisahan antara dua jenis ini. Jika keduanya sama & boleh dihimpunkan dalam satu keadaan, maka kedua-duanya adalah sama! Tidak perlu dipisahkan, kaedah menyatakan: [الضدّان لا يجتمعان]; al-ḍiddān lā yajtami’ān, bererti: “Dua perkara yang saling bertentangan, sama sekali tidak akan pernah berhimpun.”
Ketiga: Ḥasan li ghayrih?
Kebarangkalian hadis ini menjadi ḥasan li ghayrih juga amat rapuh kerana shāhid bagi ḥadīth ini menerusi jalur Abū Hurayrah tidak dapat mencapai martabat yang melayakkannya menjadi shāhid; yang mampu menaikkan darjat hadis ini walau sedikit. Telah kami jelaskan, dua unsur yang sama lemah, tidak dapat saling menguatkan sesamanya.
Adapun dari sudut bilangan periwayatan, lebih-lebih lagi tidak memberi apa-apa faedah, hadis ini diriwayatkan daripada dua jalur yang mashhur iaitu daripada jalur Salmān & Abū Hurayrah yang telah dibuktikan kelemahan kedua-duanya. Adapun jalur ‘Ubādah b. al-Ṣāmit maka ia tidak masyhur di sisi ahli hadis, tidak dikenali & tidak diriwayatkan di dalam karya-karya induk sunnah. Hal ini mengisharatkan keganjilan & kemunkarannya.
Keempat: “Ḍa’īf tidak semestinya Palsu”
Tidak semestinya sesuatu hadis perlu mencapai tahap palsu untuk ditolak oleh ‘ulamak ahli hadis. Lantas terbibit kefahaman yang salah iaitu, selagi sesuatu hadis itu “ḍa’īf sahaja” di sisi kita, maka ia masih boleh disebarkan & diamalkan. Hanya palsu sahaja yang dilarang keras. Hal ini merupakan suatu kekeliruan.
Bahkan, palsu ialah salah satu daripada martabat keḍa’īfan; ia disenaraikan sebagai martabat keḍa’īfan yang paling teruk & rendah, demikian merupakan pernyataan ulamak ahli hadis bahkan dalam kalangan mutaakhkhirīn. Sepertimana yang didendangkan oleh al-‘Irāqī di dalam Alfiyat al-Ḥadīth:
شرّ الضّعيف الخبر الموضوع الكذب المختلق المصنوع
“Darjat keḍa’īfan yang paling buruk: Khabar (hadis) yang berstatus mawḍū’, ia merupakan suatu kedustaan, yang dibuat-buat dengan buruk; lagi direka-reka.”
Para imam mutaqaddimin menolak hadis mursal sekalipun ṣaḥīḥ zahir sanadnya, lagi diriwayatkan oleh para tābi’īn yang thiqāt lagi mulia. Namun mereka enggan meriwayatkannya dan menolaknya kerana keterputusan sanad (salah satu sebab keḍa’ifan di sisi disiplin ilmu ḥadīth), maka hadis-hadis ḍa’īf lain, yang lebih rendah darjatnya daripada sekalian marāsīl tersebut, adalah lebih utama untuk ditolak & tidak terima; min bāb al-awlā.
Penerimaan ḥadīth ḍa’īf mempunyai sharat-sharat serta qayd tertentu yang hanya diamalkan oleh pakar ḥadīth & fiqh. Perkara ini dilakukan sewenang-wenangnya.
KESIMPULAN
Ramaḍan itu keseluruhannya raḥmah, maghfirah (keampunan) & detik-detik pembebasan dari api neraka. Hadis ini adalah tidak thābit & tidak ṣaḥīḥ sebagai perkataan Rasūl Allāh, tidak boleh menyebarkan atau meriwayatkannya; melainkan dengan tujuan menjelaskan kelemahannya.

Comments
Post a Comment