Doa Akhir Ramadan? |
Telah tersebar sebuah poster yang menyatakan bahawa Rasulullah mengakhiri atau mengucapkan selamat tinggal, "farewell" kepada bulan Ramadhan ini dengan sebuah lafaz doa. Benarkah?
Kononnya diriwayatkan daripada Jabir b. 'Abd Allah al-Ansari bahawa Rasulullah berkata kepadanya: "Wahai Jabir, hari ini ialah hari Jumaat akhir pada bulan Ramadhan, maka ucapkanlah selamat tinggal kepadanya, dan katakanlah,
اللهم لا تجعله آخر العهد من صيامنا إياه، فإن جعلتَه فاجعلني مرحومًا، ولا تجعلني محرومًا
"Wahai Allah, janganlah Engkau jadikannya (Ramadhan ini) sebagai pertemyan terakhir kami dengan ibadah puasa padanya, sekiranya Engkau jadikan ini yang terakhir maka jadikanlah aku dalam kalangan hamba-Mu yang dirahmati, dan janganlah Engkau jadikan aku dalam kalangan yang diharamkan mendapat rahmat-Mu."
Kami di #HadithProject ingin menyatakan dengan tegas bahawa hadis ini palsu; tidak ditemui dalam mana-mana karya perekodan sunnah dan riwayat dalam tradisi ahli Sunnah yang mulia lagi terpelihara.
Kami menemuinya di dalam karya hadis dalam aliran (agama) Syiah, hadis menerusi matan ini tercatat direkodkan oleh al-Hurr al-Amili di dalam Wasa'il al-Shi‘ah, [jil. 7, hal. 267] menerusi sanadnya daripada 'Aliyy b. Musa b. Tawus di dalam kitabnya al-Iqbal, bahawa dia telah berkata: "Telah meriwayatkan al-Shaykh Jaafar b. Muhammad al-Duristi di dalam kitabnya, al-Husna; menerusi sanadnya hingga Jabir b. ‘Abd Allah..", tanpa menyebut sanadnya.
Tiada yang lebih kedustaannya berbanding kelompok Syiah, bak kata Imam al-Shafii. Apatahlagi dalam bab penukilan riwayat, sanad dan tradisi ilmu hadis.
Berhati-hatilah ketika menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah!
— Hadith Project
Comments
Post a Comment