Tokoh Hadis | Imam Aḥmad b. Ḥanbal (164H-241H)

Abū ‘Abd Allāh, Abū Ṣāliḥ; Aḥmad b. Muḥammad b. Ḥanbal, daripada keturunan bani Shaybah, kelahiran Merw, salah satu daerah di wilayah Khurāsān (Irāq, kini). Beliau dilahirkan pada bulan Rabī’ al-Awwal tahun 164H, datuknya seorang pahlawan & bangsawan dinasti 'Abbasid, beliau dilahirkan dalam suasana keluarga kecil yang miskin namun amat menitik berat soal agama & akhlak.

Setelah menghafaz al-Qur'ān ketika berusia 14 tahun, beliau memulakan ekspedisi menuntut ilmu ketika berusia 15 tahun, daripada guru-guru ḥadīth & fiqh, antaranya: Sufyān b. ‘Uyaynah (m. 198H), ‘Abd ar-Raḥmān b. Mahdī (m. 198H), Yazīd b. Hārūn (m. 206H)  dll sarjana ḥadīth yang terkemuka di Baghdād & sekitarnya. Beliau mempelajari & menghafaz ḥadīth-ḥadīth guru tersebut, serta mempelajari fiqh daripada al-Imām Muḥammad b. Idrīs al-Shāfi'ī (m. 204H), sarjana fiqh yang agung.

Setelah selesai bermusafir menuntut 'ilmu, beliau menyatakan komitmen sepenuhnya dalam ilmu ḥadīth & riwāyah.

Beliau merupakan mahaguru ḥadīth yang begitu agung, menghafaz jutaan ḥadīth, riwayat & sanad, serta mempunyai madrasah fiqh madhab tersendiri. Pengasas madhab Ḥanbalī ini merupakan insan yang unik jua semisal al-Shāfi’ī, namun beliau lebih menguasai ḥadīth! Diriwayatkan bahawa beliau juga begitu mahir berbahasa Parsi.

Guru kepada sekalian anak murid jahābidhah (jaguh) ḥadīth seperti Muḥammad b. Ismā'īl al-Bukhārī (m. 256H), Muslim b. al-Ḥajjāj (m. 261H), Abū Dāwūd al-Sijistanī  (m. 275H) dll pakar ḥadīth serta pakar periwayat aqwāl beliau sendiri seperti Abū Bakr al-Khallāl (m. 311H), Abū Bakr al-Athram (m. 273H), 'Abd Allāh b. Aḥmad (m. 290H) (anak sulung beliau), Ṣāliḥ b. Aḥmad (m. 265H) (anak kedua beliau), Ḥanbal b. Isḥāq (m. 273H) dll perawi beliau.

Beliau juga merupakan ikon pujaan dalam kalangan rakan intelektual beliau yang lain semisal Yaḥyā b. Ma’īn (m. 233H), ‘Alī b. al-Madīnī (m. 234H), Isḥāq b. Rahawayh (m. 238H) dll. Mereka turut meriwayatkan ḥadīth daripada Aḥmad & mengajukan soalan-soalan berkenaan rijāl.

Aḥmad b. Hanbal diuji dalam peristiwa miḥnah khalq al-Qur'ān dengan hukuman penjara selama 13 tahun bermula era pemerintahan al-Ma’mūn (m. 218H), sang khalifah genius bermadhab Mu’tazilah yang memaksa para sarjana Islām mengakui bahawa al-Qur'ān itu makhluk (ciptaan Allāh) kerana menurut logika Mu'tazilah; yang terpengaruh dengan falsafah & mantik Yunani.

Aḥmad enggan menuruti arahan tersebut, sebaliknya tegas menyatakan al-Qur'ān ialah kalām (percakapan) Allāh. Keadaan berlarutan juga ketika era pemerintahan al-Mu’taṣim (m. 227H)

Beliau terpaksa menanggung derita hukuman sebat yang teramat dahsyat, dihikayatkan oleh anak beliau, Ṣāliḥ b. Aḥmad, andai dihayun sebatan yang dikenakan kepada beliau pada gajah, nescaya gajah juga bakal tumbang!

Beliau dikenakan tahanan rumah pula pada era al-Wāthiq (m. 232H), hingga akhirnya beliau dibebaskan ketika era pemerintahan al-Mutawakkil (m. 247H), sang khalīfah yang cenderung bermadhab ahli Sunnah dan membelanya.

Kisah tribulisasi (miḥnah) berkenaan khalq al-Qur'ān yang dialami Aḥmad b. Ḥanbal ini dihikayatkan secara lengkap oleh para sarjana sejarah; termasuk anak-anak murid beliau sendiri antaranya di dalam kitāb al-Miḥnah, riwayat Abū 'Alī al-Shaybānī; Ḥanbal b. Isḥāq.

Sekalian aṣḥāb Aḥmad berkata : “Sekiranya Aḥmad b. Ḥanbal dalam kalangan bani Isrā'īl, beliau sudah menjadi seorang Nabī.” Pernyataan ini diriwayatkan oleh al-Dhahabī di dalam al-Siyar, serta Abū Nu'aym al-Iṣbihānī di dalam al-Ḥilyah.

Kata ulamak jua: “Agama ini diselamatkan oleh Allāh melalui dua individu, melalui Abū Bakr al-Ṣiddīq ketika beliau membanteras gejala riddah, dan melalui Aḥmad b. Ḥanbal ketika beliau mempertahankan akidah ahli Sunnah.”

Beliau meninggal dunia akibat sakit tua pada tahun 241H, di kota Baghdād. Jenazah beliau dihadiri oleh ratusan ribu manusia yang memenuhi seisi kota Baghdād, dilaporkan tempoh mengambil wuduk untuk menṣaḷatkan jenazah beliau ialah daripada pagi ḍuḥā hingga waktu asar. Dihikayatkan juga oleh ibn al-Jawzī (m. 597H) di dalam Manāqib al-Imām Aḥmad bahawa seramai 60,000 orang beragama Yahūdī, Kristian & Zoroastrianisme masuk Islām pada hari pengebumian beliau.

Semoga Allāh merahmati Imām serta panutan kita semua, Abū ‘Abd Allāh, Aḥmad b. Ḥanbal al-Shaybānī al-Marwadhī.

Comments

Popular posts from this blog

Kelemahan Hadis "Awwaluhu Rahmah" |

Doa Akhir Ramadan? |