Doa Malam al-Qadr, Sahihkah?

Tersebar sebuah riwayat yang mengisyaratkan sebuah doa khusus untuk dibaca oleh seseorang sekiranya dikurniakan kepadanya pertemuan dengan malam al-Qadr. Namun adakah ia sahih dari Nabi ṣallallāh ‘alayh wasallam?

Hadisnya adalah hadis Umm al-Mu’minīn ‘Ā'ishah bt. Abū Bakr rd., bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah, "Sekiranya saya diberi petunjuk untuk mengetahui malam al-Qadr, apakah yang saya harus katakan?"

Lalu baginda bersabda:

تَقُولِينَ: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي
"Awak boleh berdoa, "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, lagi sukakan kemaafan, maka maafkanlah daku."."

Imam al-Tirmidhī merekodkannya dalam al-Jāmi‘, beliau mengatakan: "Hadis ini hasan sahih."

Hadis ini diriwayatkan menerusi pelbagai jalur, kesemuanya berpusatkan daripada ‘Abd Allah b. Buraydah daripada ‘Ā'ishah.

Meskipun perawi-perawinya thiqah (terpercaya), namun terdapat kecacatan tersembunyi pada sanad ini, iaitu keterputusan (inqiṭā‘); kerana ‘Abd Allah b. Buraydah tidak pernah mendengar daripada ‘A'ishah walaupun sebuah hadis, sepertimana yang dinyatakan oleh al-Daraqutni (m. 385H) di dalam al-'Ilal. Maka, hadis ini daif dan tidak sabit daripada Rasulullah.

Muhaddis Yaman, Sh. Muqbil b. Hādī al-Wādi‘ī turut melemahkan hadis ini berdasarkan alasan yang sama, begitu juga Sh. Ṣāliḥ b. ‘Abd Allah al-‘Uṣaymī, Sh. ‘Abd Allah al-Sa‘d dan Sh. ‘Abd al-‘Azīz al-Ṭarīfī.

Namun ia disahihkan oleh sebahagian pengkaji hadis terkemudian dan kontemporari semisal Imam ibn al-Qayyim (m. 751H), Sh. al-Albānī (m. 1420H) dll. 

Walaupun secara marfu‘ ia adalah daif, namun corak dan gaya bentuk doa ini telah sabit secara mawquf daripada ‘Ā'ishah, tanpa penisbahan kepada Rasulullah. Menerusi athar yang diriwayatkan bahawa beliau berkata:

لَوْ عَرَفْتُ: أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا سَأَلْتُ اللَّهَ فِيهَا إلَّا الْعَافِيَةَ
"Sekiranya aku tahu (iaitu: dapat tahu malam itu ialah malam al-Qadr), tidaklah aku berdoa kepada Allah ketika itu, kecuali (doa memohon) 'afiyah (keselamatan, keampunan)." Direkodkan oleh ibn Abī Shaybah dalam al-Muṣannaf dengan sanad yang kuat.

Maka yang sahih, doa ini merupakan amalan peribadi ‘A'ishah - raḍiyallāh ‘anhā.

Salahkah mahu beramal dengan doa ini?

Tidak salah. Sekalipun doa ini tidak sahih daripada Rasulullah atau ‘Ā'ishah, lafaz doa ini tetap boleh diamalkan tanpa dinisbahkan kepada Rasulullah atau sesiapa dalam kalangan mereka; Kerana fiqh doa & pengamalan lafaz doa ini begitu luas di sisi ahli ilmu dan tahkik.

Kesimpulannya, kita harus memohon ‘āfiyah, iaitu keselamatan dan keampunan Allah pada setiap masa. Lebih-lebih lagi ketika waktu mustajab dan istimewa.

— Hadith Project

Comments

Popular posts from this blog

Tokoh Hadis | Imam Aḥmad b. Ḥanbal (164H-241H)

Kelemahan Hadis "Awwaluhu Rahmah" |

Doa Akhir Ramadan? |