Qiyam Sepanjang Dua Malam, Tanpa Berjaga Malam

Tahukah anda, pada bulan Ramaḍān ini – khususnya 10 malam terakhir ini –, anda boleh mendapatkan ganjaran qiyām sepanjang dua malam, tanpa anda perlu berjaga walaupun separuh malam?

Ya, boleh. Iaitu dengan melakukan dua perkara:

1.  Solat Isyak secara berjemaah, dan solat Subuh secara berjemaah.

Imam Muslim merekodkan, dari hadis ‘Uthmān b. ‘Affān, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

﴿مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ﴾
“Barangsiapa yang mendirikan solat Isyak bersama jemaah, maka baginya pahala seolah-olah qiyām separuh malam; Dan barangsiapa yang mendirikan solat Subuh bersama jemaah, maka baginya pahala seolah-olah qiyām sepanjang malam.”

Disebutkan dalam Tuḥfat al-Aḥwadhī, “Yang diertikan dengan sabdaan baginda “barangsiapa yang mendirikan solat Subuh bersama jemaah...” adalah yang disekalikan dengan solat Isyak berjemaah. Demikian juga yang dinyatakan al-Munāwī.”

Riwayat Muslim ini ditafsirkan dengan riwayat Abū Dāwud, dengan redaksi “Barangsiapa yang solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, maka baginya ganjaran sepanjang malam.” Demikian yang dinyatakan al-‘Aẓīm Ābādī dalam ‘Awn al-Ma‘būd.

2.  Mendirikan solat terawih bersama imam sehingga ke akhirnya.

Imam al-Tirmidhī merekodkan, dari hadis Abu Dharr Jundab al-Ghifārī, bahawa baginda ﷺ bersabda,

﴿إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ﴾
“Sesungguhnya sesiapa yang bangun bersolat bersama imam sehingga imam selesai, dituliskan baginya pahala qiyam sepanjang malam.” Kata al-Tirmidhī, “Hadis ini baik lagi sahih.”

Sebahagian orang, mereka mengikuti imam sehingga 8 rakaat, atau 20 rakaat, namun apabila tiba witir, dia keluar dari jemaah. Ini adalah menyalahi sunnah menurut sebahagian ahli ilmu. Bahkan kerugian kerana terlepas ganjaran qiyām sepanjang malam yang dijanjikan.

Dalam Tuḥfat al-Aḥwadhī disebutkan, bahawa Imam Aḥmad b. Ḥanbal ditanya, “Engkau lebih suka seseorang itu solat bersama orang ramai pada qiyām Ramaḍān atau solat bersendirian?”

Jawab beliau, “Aku suka agar dia solat bersama orang ramai, dan aku gemar agar dia solat witir bersama imam juga,...” Kemudian Imam Aḥmad membacakan hadis Abū Dharr tersebut.

Inilah dua amalan, yang jika dilakukan keduanya, maka baginya ganjaran berjaga sepanjang dua malam. Wallahu a‘lam.

Semoga Allah memberkati kita, dan memberikan kita tawfik pada malam-malam Ramadan yang berbaki ini, untuk memperbanyakkan amal soleh, kemudian konsisten sehingga ke akhirnya.

Comments

Popular posts from this blog

Tokoh Hadis | Imam Aḥmad b. Ḥanbal (164H-241H)

Kelemahan Hadis "Awwaluhu Rahmah" |

Doa Akhir Ramadan? |